Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani – Ulama jihad di Banten
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
ULAMA yang berasal dari Banten, Jawa Barat, yang paling terkenal  ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, yang banyak menulis syarah kitab yang  semuanya ditulis dalam bahasa Arab. Oleh kerana banyak menghasilkan  karya, maka beliau digelar sebagai Imam Nawawi Tsani (Imam Nawawi  Kedua).
Mengenai Syeikh Nawawi al-Bantani telah diperkenalkan dalam Ruangan  Agama, Utusan Malaysia pada 7 Februari 2005. Artikel ini pula  memperkenalkan dua orang ulama Banten yang lain. Yang pertama, Syeikh  Muhammad Arsyad bin As’ad bin Mustafa bin As’ad al-Bantani al-Jawi. Nama  popularnya ialah Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani.
Dinamakan Thawil yang berarti panjang kerana ada seorang sahabatnya  bernama Syeikh Arsyad Qashir al-Bantani. Qashir bererti pendek. Syeikh  Arsyad Thawil dilahirkan di Banten pada Zulkaedah 1255 Hijrah/Januari  1840 Masihi. Riwayat lain menyebut bahawa beliau lahir tahun 1263  Hijrah/1847 Masihi.
Pendidikan
Ayahnya tinggal di Mekah kerana ketika kecil beliau diasuh oleh  beberapa orang ayah saudaranya. Kepadanya diberi pengenalan tentang  bacaan al-Quran. Dalam usia 8 tahun mengikut orang tuanya ke Mekah.  Beliau mendapat pendidikan asas khatam mengaji al-Quran daripada  beberapa orang ayah saudara dan ayahnya sendiri. Beberapa buah matan  terutama matan nahu, saraf, fikah dan tauhid juga dipelajarinya daripada  ayahnya. Di Masjid al-Haram, Arsyad Thawil sentiasa mengikuti pengajian  yang diberikan oleh Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mekah,  terutama mengenai nahwu, fikah dan sirah. Selain belajar kepada Sayid  Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani juga belajar  kepada beberapa ulama, di antaranya Syeikh Nawawi al-Bantani yang  terkenal, Sayid Abu Bakri Syatha, di bawah bimbingan dua orang anak  ulama itu, iaitu Sayid Umar Syatha dan Sayid Utsman Syatha. Syeikh  Arsyad Thawil mendalami ilmu hadis daripada Habib Muhammad bin Husein  al-Habsyi al-Makki di bawah bimbingan anak ulama itu, iaitu Mufti  al-Muhaddits al-Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Makki (wafat 1330  Hijrah/1911 Masihi). Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani memperdalam ilmu  fikah pula daripada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.  Mengenai ilmu hadis selain belajar kepada ulama yang telah disebutkan  tadi, Syeikh Arsyad Thawil sewaktu berkali-kali berulang-alik ke Madinah  mempelajarinya juga daripada Syeikh Abdul Ghani bin Abi Sa’id  al-Mujaddidi, di bawah bimbingan beberapa orang murid ulama itu, iaitu  Sayid Ali bin Zhahir al-Watri, Syeikh Shalih bin Muhammad az-Zhahiri,  dan Syeikh Abdul Jalil Barradah. Daripada semua ulama yang tersebut,  Syeikh Arsyad Thawil menerima ijazah dalam ilmu hadis. Guru-guru beliau  yang lain pula, yang pernah dicatatkan ialah: Syeikh Ibrahim al-Saqa  asy-Syabrabakhumi (wafat 1298 Hijrah/1880 Masihi), Saiyid Ja’afar bin  Idris al-Kattani, al-’Allamah Abi Jaiyidah bin Abdul Kabir al-Fasi,  al-’Allamah Abdullah bin Darwisy asy-Syakri, Sayid Muhammad ibnu  Muhammad Murtadha az-Zabidi al-Hanafi (wafat 1305 Hijrah/1887 Masihi,  Sayid Muhammad bin Ali as-Sanusi (wafat 1276 Hijrah/1859 Masihi). Syeikh  Arsyad Thawil, dalam usia 14 tahun, bersama-sama datuknya, Syeikh  Mustafa al-Bantani, ketika itu berusia hampir seratus tahun, pergi ke  Mesir. Di sana pernah mendapat berkat (tabarruk) daripada Syeikh  Syinwani dan Syarqawi, kedua-dua ulama Mesir yang sangat terkenal ketika  itu.
Jihad di Banten
Dalam tahun 1311 Hijrah/1893 Masihi, Syeikh Arsyad Thawil pergi ke  Banten. Pada ketika itu terjadi peristiwa pertentangan antara  orang-orang Islam dengan penganut agama Budha di Banten. Pemerintah  Belanda mencampuri perselisihan itu dengan alasan untuk mendamaikan dua  golongan yang sedang bermusuhan. Tetapi kolonial Belanda menjalankan  hukuman yang tidak adil, bahawa Belanda memihak kepada golongan agama  Budha. Oleh yang demikian pemimpin-pemimpin Muslimin sepakat untuk  mengadakan perang total terhadap semua golongan yang bukan Islam  termasuk terhadap pemerintah kolonial Belanda juga. Secara serentak kaum  Muslimin mengangkat senjata ikut dalam pemberontakan jihad itu,  termasuk Syeikh Arsyad Thawil. Beliau termasuk salah seorang pemimpin  mereka. Jihad terhadap golongan kafir itu dipersetujui oleh Syeikh  Nawawi al-Bantani di Mekah dan beberapa orang ulama lainnya. Namun Sayid  Utsman Betawi tidak merestuinya, kerana beliau mempunyai pandangan  siasah yang tersendiri pula. Kaum Muslimin berhasil membunuh ramai  golongan kafir, pihak kolonial Belanda mengerahkan segala kekuatannya  untuk mematahkan perang jihad itu, kemudian pihak kolonial Belanda  berhasil menangkap pemimpin-pemimpin Islam Banten termasuklah Syeikh  Arsyad Thawil sendiri lalu mereka dibuang ke Menado (Sulawesi Utara).  Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani berkali-kali mencuba untuk kembali ke  Mekah atau ke negerinya Banten namun tidak berhasil. Berbagai-bagai  bencana dan cubaan menimpa Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani pada masa  pembuangan itu, di antaranya salah seorang anak beliau yang menjadi  Syeikh Haji di Mekah meninggal dunia (tahun 1328 Hijrah/1910 Masihi).
Mengajar dan wafat
Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani selain pernah terlibat dalam jihad  yang terjadi di Banten itu, akhirnya beliau ditangkap oleh Belanda dan  dibuang ke Menado, Sulawesi Utara. Di negeri pembuangannya Syeikh Arsyad  Thawil al-Bantani aktif mengajar masyarakat di Menado. Beliau mengajar  dalam bidang ilmu-ilmu keislaman. Di antara ilmu-ilmu yang pernah  dicurahkannya kepada murid-muridnya ialah: fikah, nahu, saraf, tasawuf,  hadis dan lain-lain. Ramai alim-ulama dunia Melayu yang bersanad ilmu  (musalsal) mulai daripada Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani hingga ke  atas. Mereka ialah: al-’Allamah as- Sayid Ahmad bin Husein bin Salim Ba  Jindan al-’Alawi dan anaknya yang terkenal sebagai Musannid Indonesia,  iaitu as-Sayid Salim bin Ahmad bin Husein Ba Jindan. Selain itu ialah  al-’Allamah as-Sayid `Alawi bin Abdur Rahman bin Semit. Daripada sanad  ini pula akan menurunkan Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad `Isa  al-Fadani (Padang) al-Makki.
Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani dirahmati dengan umur yang panjang,  wafat di Menado (Sulawesi Utara), pada malam Isnin, 14 Zulhijjah 1353  Hijrah/19 Mac 1935 Masihi, dalam usia 98 tahun. Yang menjadi imam  sembahyang jenazahnya ialah al-Habib Hasan bin Abdur Rahman Maula  Khailah al-’Alawi.
Generasi penerus
Ulama Banten yang kedua ialah al-’Allamah Tubagus Bakri bin Tubagus  Sid bin Tubagus Arsyad al-Syafi’ie al-Bantani al-Jawi. Lahir sekitar  tahun 1268 Hijrah/1851 Masihi, di daerah Peleret, Porwokerto, Jawa  Barat. Sejak kecil dipelihara oleh Raden Raji Ghanim. Sejak berumur enam  tahun diberi pelajaran membaca al-Quran dan tajwid. Dalam masa itu pula  beliau telah mulai menghafal matan-matan: fikah, tauhid dan mengenal  lughat Arabiyah. Dalam masa pertumbuhan umur menjelang baligh beliau  mulai memasuki pondok-pesantren, berpindah-pindah dari satu  pondok-pesantren ke satu pondok-pesantren yang lain. Beliau belajar  dengan cara demikian hingga sampai umurnya 40 tahun. Di antara ulama  yang berada di Jawa yang beliau pernah belajar kepadanya ialah: Syeikh  Khalil al-Bankalani al-Manduri (Madura), Kiyai Hasan Mustafa Sukabumi,  dan Syeikh Saleh as-Samarani (Semarang), iaitulah ulama yang digelar  dengan Imam al-Ghazali as-Tsani (Imam Ghazali Kedua) sebagaimana Syeikh  Nawawi al-Bantani digelar dengan Imam Nawawi as-Tsani. Sungguh pun sudah  demikian banyak ilmu pengetahuan yang diterima daripada ulama-ulama di  Jawa dan Madura yang cukup terkenal itu, namun Tubagus Bakri sentiasa  terus menerus haus dan laparkan ilmu pengetahuan, sentiasa ingin  menambahnya. Oleh itu beliau berangkat ke Mekah dan tinggal di sana  dalam masa yang agak lama. Selama di Mekah belajar lagi kepada beberapa  orang ulama yang terkenal dan ulama-ulama itu ada yang berumur lebih  muda daripada beliau, mereka ialah: Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid  al-Bughri (Bogor, lahir 1278 Hijrah/1861 Masihi), Sayid Abdul Hamid  Kudus (lahir 1280 Hijrah/1863 Masihi), Syeikh Mahfuz at-Tarmasi (lahir  Muhammad Mahfuzh bin Abdullah at-Tarmasi/ Termas (lahir 1285 Hijrah/1868  Masihi) Syeikh Abdul Haq al-Bantani (cucu Syeikh Nawawi al-Bantani),  Syeikh Ahmad al-Fathani (lahir 1272 Hijrah/1856 Masihi), Mufti  Syafi’iyah Mekah Syeikh Umar bin Abi Bakar Ba Junaid, Mufti Hanafiyah  Mekah Syeikh Shalih bin Shiddiq Kamal al-Hanafi, Syeikh Shalih bin  Muhammad Ba Fadhal al-Hadhrami, dan ramai lagi. Daripada ulama-ulama  tersebut diterima ijazah dan riwayat-riwayat baik yang bercorak  falsafah, pemikiran dan lain-lain, lebih-lebih lagi yang dibangsakan  kepada dalil-dalil al-Quran, hadis, ijma’ ulama dan qias yang sahih.
Perkhidmatan sebagai ulama
Setelah demikian lama tinggal di Mekah, ilmu dan pengalaman dirasakan  cukup memadai, ditambah lagi umurnya yang sudah agak lanjut, maka  Tubagus Bakri pulang ke negerinya. Kemudian menetap di Kampung Sempura.  Pada mulanya beliau hanya membina sebuah rumah kecil sebagai tempat  tinggalnya, sungguh pun demikian beberapa orang datang belajar  kepadanya. Dalam masa yang agak lama sesudah itu rumahnya penuh sesak  dikunjungi pelajar yang datang daripada pelbagai jurusan, maka beliau  berhasil mendirikan pondok-pesantren. Di pondok-pesantren itu Tubagus  Bakri mengutamakan ilmu-ilmu Arabiyah, tafsir, hadis, fikah dan  ilmu-ilmu asas yang lain. Pelajaran diberikan tanpa berhenti siang dan  malam. Setiap hari, siang dan malam perjalanan hidup beliau hanyalah  mengajar dan beribadat. Apabila bukan waktu mengajar beliau terus  melakukan peribadatan. Secara spontan apabila berhenti pada jam  pelajaran beliau langsung masuk ke tempat peribadatannya. Hampir-hampir  tidak diketahui bila waktu beliau tidur. Salah satu kebiasaan  peribadinya bahawa setiap malam Selasa awal setiap bulan Arabiyah beliau  menghidupkannya dengan memberikan limpahan ilmu kepada murid-muridnya  mulai awal malam hingga terbit fajar. Kemudian sesudah Subuh disambung  lagi hingga waktu Dhuha. Bererti semalam-malaman itu beliau dan  murid-muridnya yang khusus memang tidak tidur. Pada malam itu diajarkan  tujuh kitab yang besar-besar pada persekitaran ilmu-ilmu: tafsir, hadis,  fikah, nahu, saraf, akidah dan tasawuf. Pada malam tersebut hampir  semua ulama-ulama terkenal di Jawa Barat datang mengambil barakah  daripada beliau.
Mengasihani
Salah satu akhlak mulia yang ada pada peribadi Tubagus Bakri  al-Bantani ialah bahawa beliau sangat mengasihi zuriat Rasulullah s.a.w.  serta sangat hormat kepada mereka. Tradisi demikian kemungkinan  merupakan fitrah semulajadinya atau pun memang dipusakai daripada  datuk-neneknya dan ada kemungkinan bahawa beliau sendiri termasuk  keturunan Syarif Hidayatullah @ Sunan Gunung Jati yang riwayat  datuk-nenek mereka diperkenalkan dalam buku saya Tabaqat Ulama Asia  Tenggara, jilid 1. Tubagus Bakri al-Bantani wafat pada malam Isnin, 27  Zulkaedah 1395 Hijrah/30 November 1975 Masihi, dalam usia 128 tahun di  Kampung Sampura, Jawa Barat.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar