Suatu hari seorang profesor menyewa sebuah sampan untuk membuat  kajian di tengah lautan.Pendayung itu merupakan lelaki tua yang sangat  pendiam. Profesor sengaja mengupah lelaki tua itu kerana dia tidak mahu  orang yang menemaninya banyak menyoal tentang apa yang dia lakukan. 
Dengan tekun Profesor itu melakukan tugasnya tanpa menghiraukan  pendayung sampan. Dia mengambil air laut dan diisi kedalam tabung uji,  digoncang-goncang, kemudian mencatat sesuatu di dalam buku catatan  dibawanya. Berjam-jam lamanya Profesor itu melakukan kajian dengan tekun  sekali. Pendayung sampan mendongak ke langit, memandang pada awan yang  mula berarak kelabu. Dalam hati dia berkata “Hmm..tak lama hujan lebat  akan turun..”
“OK semua sudah siap mari kita balik.” Lantas pendayung itu  memusingkan sampannya dan mula mendayung ke arah pantai. Dalam  perjalanan itu baru Profesor itu membuka mulut menegur pendayung sampan.
“Dah lama kamu mendayung sampan?” Tanya Profesor kepada pendayung  sampan. “Hmm..hampir seumur hidupku,” jawab si pendayung ringkas.
“Seumur hidup kamu? Jadi kamu tidak tahu apa-apa selain mendayung sampan?” tanya Profesor itu lagi.
“Ya..”jawab pendayung sampan dengan ringkas.
Profesor belum berpuas hati dengan jawapan pendayung tua itu. “Kamu tahu Geografi?” Si pendayung menggeleng..
“Kalau begitu kamu hilang 25% dari usia hidup kamu.”
“Kamu tahu Biologi?”tanya Profesor itu lagi. Pendayung sampan itu menggeleng lagi.
“Kasihan kamu telah kehilangan 50% dari usia kamu.”
“Kamu tahu Fizik?” Profesor itu masih bertanya. Seperti tadi pendayung sampan itu hanya menggeleng.
“Sungguh kasihan kalau begitu kamu telah kehilangan 75% usia  kamu.Malang sungguh nasib kamu semuanya tidak tahu. Seluruh hidup kamu  hanya dihabiskan dengan sampan,tak ada gunanya lagi,” Profesor itu  mengejek dan berkata dengan angkuh setelah merasakan dirinya yang  terhebat. Pendayung sampan hanya mendiamkan diri.
Selang beberapa minit kemudian hujan turun dengan lebat, tiba-tiba  ombak besar datang melanda. Sampan yang mereka naiki terbalik. Profesor  dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung itu bertanya,  “Kamu tahu berenang?” Profesor hanya menggeleng.
“Sayang sekali kamu telah kehilangan 100% nyawa kamu.” Kata pendayung  itu sambil berenang ke pantai meninggalkan Profesor yang angkuh tadi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar